PROJEK LOJI RAWATAN KUMBAHAN SERANTAU DAN RANGKAIAN PAIP PEMBETUNGAN DI PAPAN, DAERAH KINTA, IPOH, PERAK – PAKEJ 1: NETWORK
(REKA & BINA)


Ipoh, 31 Januari 2025 – YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim telah menyaksikan penyerahan Sijil Perakuan Siap Projek Pembetungan Papan Pakej 1 oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Ir. Ts. Hj. Wan Abd Rahim Bin Wan Abdullah kepada Pengarah Urusan Mangkubumi Sdn Bhd, Tan Sri Ir. Zainudin Karjan dalam satu Majlis Lawatan Kerja Perdana Menteri yang telah berlangsung di salah sebuah Stesen Pam Rangkaian (4) Ipoh, Perak.
Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip Pembetungan di Papan, Daerah Kinta, Perak Pakej 1: Network (Reka dan Bina) yang menelan kos sebanyak 811 Juta Ringgit Malaysia telah siap sepenuhnya awal dari tarikh asal iaitu pada 12 Februari 2025.
Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bertanggungjawab sebagai agensi pelaksana menjayakan projek tersebut demi menyediakan kemudahan pembetungan moden dan lestari untuk rakyat madani.
YAB Perdana Menteri berkata, “Penyempurnaan Projek Papan 1 merupakan antara inisiatif infrastruktur penting bagi meningkatkan keupayaan sistem pembetungan, memastikan keberkesanan rawatan kumbahan serta menyokong pertumbuhan bandar yang lebih bersih dan mapan”.
Menurut Ketua Pengarah JPP, Penutupan 149 loji rawatan kumbahan usang dengan menyalurkan aliran kumbahan ke loji rawatan kumbahan serantau melalui sistem rangkaian paip pembetungan sepanjang 88 km mengurangkan point source pencemaran air & bau serta penutupan sebanyak 73 tapak loji awam berpotensi untuk dibangunkan semula.
Meskipun kontraktor berdepan dengan cabaran geologi terutamanya jenis bawah tanah di Ipoh yang bersifat tanah luar biasa (Subsurface Soil – Karstic Condition), tanah berkaviti dan batuan retak akibat hakisan batu kapur menyebabkan ketidakstabilan serta risiko mendapan sepanjang melaksanakan projek tersebut, dengan sokongan JPP serta PETRA projek siap ini membawa kepada variasi faedah yang dinikmati oleh strata di Ipoh.
Antara faedah adalah peningkatan kelestarian sistem perparitan yang lebih moden dan mengawal kebersihan sungai, menaikkan nilai hartanah, serta mengurangkan aduan awam mengenai sistem pembetungan usang.
Mangkubumi dengan Kerjasama JPP serta sokongan dari PETRA akan terus komited dalam menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara dan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan rakyat serta memastikan kelestarian alam sekitar.